Farm Fresh ke Bursa Malaysia suku pertama 2022

BeritaHarian Tue, Feb 15, 2022 02:16pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Farm Fresh Bhd yang menandatangani perjanjian taja jamin bersempena dengan tawaran awam permulaan (IPO), semalam dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities pada suku pertama tahun ini.

Kumpulan tenusu bersepadu itu berkata, perjanjian taja jamin itu telah dimeterai dengan CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd, Affin Hwang Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd, Hong Leong Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.

"Dalam tempoh 12 tahun, kami berkembang menjadi antara pengeluar tenusu terkemuka negara walaupun terdapat saingan sengit daripada jenama lain.

"Majlis taja jamin ini membawa kami selangkah lebih dekat dengan cadangan kami untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Loi Tuan Ee dalam satu kenyataan.

IPO itu terdiri daripada tawaran untuk jualan sehingga 520.2 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 223 juta saham baharu.

Farm Fresh (dahulunya The Holstein Milk Company Sdn Bhd) adalah antara syarikat tenusu tempatan terbesar di Malaysia dengan anggaran 18 peratus penguasaan pasaran dalam segmen susu sedia untuk diminum setakat 30 September 2021.

Ia mengendalikan lima ladang tenusu di Malaysia dan satu ladang tenusu di Australia merentasi kawasan seluas kira-kira 5,400 ekar (2,185 hektar).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 9.550

Comments

Login to comment.