Supermax tambah baik pengurusan pekerja asing

BeritaHarian Tue, Feb 08, 2022 02:01pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Supermax Corporation Bhd melaksanakan dasar pengurusan pekerja asing komprehensif baharu untuk mengukuhkan amalan sumber manusia dan tenaga kerja asing.

Sebagai sebahagian daripada dasar baharu itu, Supermax kini memperluaskan skop bayaran balik dengan memasukkan bekas pekerja yang diambil secara terus dan pekerja kontrak yang meninggalkan syarikat sebelum 1 Oktober 2019.

Supermax menerusi satu kenyataan berkata, inisiatif baharu dan kriteria kelayakan yang sudah disemak semula itu dipersetujui selepas mendapatkan pandangan serta nasihat daripada firma perunding antarabangsa terkemuka, selain menerusi libat urus dan dialog bersama pakar hak pekerja migran, Andy Hall.

Ia berkata, syarikat turut melantik sebuah firma perunding antarabangsa untuk terus menilai dan memberikan nasihat mengenai pembayaran kepada semua pekerja dan bekas pekerja, selain menjejaki pekerja yang sudah kembali ke negara asal masing-masing.

"Supermax komited untuk memastikan semua bekas pekerja kami menerima bayaran balik termasuk mereka yang berada dalam skop diperluaskan.

"Dalam usaha memastikan semua bekas pekerja yang layak menerima bayaran balik, notis akan dikeluarkan dalam akhbar negara-negara asal bekas pekerja dan aktiviti jangkauan akan dilaksanakan dalam masa enam bulan dari Februari hingga Julai 2022 untuk mencari seramai mungkin bekas pekerja," katanya.

Supermax berkata, ia akan menubuhkan dana bagi memastikan syarikat dapat membayar semua bekas pekerja dan pekerja lain yang layak menurut kriteria kelayakan bayaran balik yang sudah disemak semula.

"Dana akan disemak semula sewajarnya apabila ia semakin kehabisan dan akan ditadbir oleh jawatankuasa penasihat yang terdiri daripada pengurusan, perunding serta Hall sendiri," katanya.

Supermax juga sudah melaksanakan bayaran 'ex-gratia' sekali bayar kepada semua pekerjanya dan akan menambah elemen faedah selanjutnya ke atas jumlah yuran berkaitan pengambilan pekerja dan kos yang dibayar oleh pekerja.

"Kami gembira untuk mengumumkan bahawa bayaran ini sudah habis dibayar kepada pekerja sedia ada pada 7 Februari 2022. Bekas pekerja juga akan menerima bayaran sama bermula Februai 2022 hingga Julai 2022.

"Sehingga kini, Supermax sudah membayar sejumlah RM25.67 juta bayaran balik merangkumi yuran pengambilan pekerja, 'ex-gratia' dan kos lain berkaitan pekerja," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.