Pelanggan Maybank boleh buka akaun simpanan dolar Singapura

BeritaHarian Thu, Jan 27, 2022 07:25pm - 2 years View Original


SINGAPURA: Pelanggan Maybank Malaysia berpeluang membuka akaun simpanan dalam dolar Singapura dengan Maybank Singapura secara dalam talian tidak lama lagi yang turut membolehkan pindahan dana masa nyata yang merentasi sempadan.

Dalam kenyataannya hari ini, bank itu berkata, langkah berkenaan adalah antara tiga inisiatif perbankan digital terbaharu yang dilancarkan oleh Maybank Singapura bagi menyokong tema strategik bank itu sebagai pihak di barisan hadapan dari segi pengurusan kewangan peribadi selain mewujudkan ekosistem mantap bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Sebagai bank terbesar di Malaysia, kami mempunyai keutamaan perniagaan untuk mengukuhkan pengalaman pelanggan dalam transaksi kewangan Singapura-Malaysia," kata Ketua Perbankan Maya dan Pembayaran Maybank Singapura, Cynthia Liaw.

Beliau berkata, akaun terbabit juga boleh dibuka oleh pelanggan yang berhasrat untuk bekerja di Singapura atau menghantar anak mereka melanjutkan pengajian ke republik itu.

Perkhidmatan baharu itu dijangka memberi manfaat kepada 950,000 rakyat Malaysia atau warga Singapura yang turut berasal dari Malaysia dan menetap di republik berkenaan.

Selain itu, terdapat kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik menyeberangi Tambak Johor setiap hari untuk bekerja atau menuntut di republik itu sebelum pandemik COVID-19.

Inisiatif perbankan baharu lain adalah perkhidmatan perbankan digital yang membolehkan akaun semasa dibuka menerusi laman sesawang bank yang menjadi langkah pertama membantu PKS memanfaatkan pembiayaan secara lancar.

"Pada masa ini kami memberi khidmat kepada hampir 20 peratus perniagaan mikro dan PKS di Singapura serta memberi tumpuan membangunkan ekosistem PKS yang lengkap untuk mereka," kata Ketua Perbankan PKS Maybank Singapura, Marc Leong.

Maybank menyasarkan sekurang-kurangnya 1,800 pelanggan baharu membuka akaun semasa PKS secara dalam talian bagi tahun pertama.

Pelanggan boleh mendaftar menerusi laman sesawang maybank.sg/onlinecorpccc.

Selain itu, inisiatif perbankan maya ketiga meliputi aplikasi gaya hidup dan pembayaran 'Maybank2u SG (Lite)' dengan pemberian e-angpau serta ciri-ciri pengurusan wang. -- Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.