Brahim's bangga sedia perkhidmatan untuk syarikat penerbangan bertaraf dunia

HarianMetro Sat, Jun 29, 2024 01:22pm - 2 days View Original


Kuala Lumpur: Brahim's Food Services Sdn Bhd (BFS) berjaya mendapat tempat sebagai penyedia utama perkhidmatan dalam penerbangan kepada 35 syarikat penerbangan antarabangsa, termasuk tujuh syarikat penerbangan terkemuka dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif BSA, Mohammad Fadhli Abdul Rahman berkata, pihaknya berbangga menjadi sebahagian daripada tenaga yang menyumbang kepada kecemerlangan syarikat penerbangan ini.

Pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia 2024 yang diadakan baru-baru ini di Fairmont Windsor Park yang ikonik berhampiran Lapangan Terbang Heathrow London, ia mengiktiraf kecemerlangan rakan-rakan kongsi BFS.

Melalui anugerah itu, Qatar Airways dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, diikuti Singapore Airlines dan Emirates.

"Kami berbangga apabila tujuh daripada syarikat penerbangan itu menyediakan makanan dari perkhidmatan BSF.

"Syarikat itu adalah Qatar Airways, Emirates, ANA All Nippon Airways, Cathay Pacific Airways, Japan Airlines, Turkish Airlines dan EVA Air.

"BFS tidak menyediakan makanan untuk Singapore Airlines kerana syarikat penerbangan ini membuat dua kali penyediaan makanan 'double caters' daripada Lapangan Terbang Changi," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pengiktirafan ini adalah saat yang membanggakan bagi semua warga kerja di BSF.

"Ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pemain utama dalam pasaran penyediaan makanan halal dalam penerbangan global," katanya.

BFS adalah anak syarikat kepada syarikat induknya, Brahim's Holdings Berhad (BHB).

Antara hidangan dalam penerbangan yang disediakan BSF.
Antara hidangan dalam penerbangan yang disediakan BSF.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Brahim's Holdings Berhad, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, walaupun menghadapi cabaran, termasuk kehilangan perniagaan dengan Malaysian Airlines, BFS mencatatkan keuntungan sekitar RM12 juta untuk tahun kewangan berakhir 2023.

"Kejayaan kewangan ini menunjukkan ketahanan dan model perniagaan yang kukuh dalam kumpulan syarikat Brahim's," katanya.

Reputasi BFS sebagai penyedia makanan halal dalam penerbangan terbesar di rantau ini adalah wajar, dengan dapur canggihnya yang meliputi 60,000 meter persegi.

Kemudahan besar ini, yang dikendalikan oleh lebih 550 pekerja berdedikasi, beroperasi sepanjang masa, mampu menghasilkan sehingga 60,000 hidangan setiap hari, mengikut standard halal dan juga memastikan kualiti dan keselamatan tertinggi dalam penyediaan makanan, menjadikan BFS nama yang dipercayai dalam industri ini.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.