CEO Aeon Bank dilantik jadi Pengarah Kepentingan Awam Bursa Malaysia

BeritaHarian Fri, Jun 28, 2024 09:24pm - 2 days View Original


KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aeon Bank (M) Bhd, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dilantik sebagai Pengarah Kepentingan Awam dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Bursa Malaysia Bhd berkuat kuasa 1 Julai 2024.

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu dibuat oleh Menteri Kewangan menurut Seksyen 10(1)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Raja Teh Maimunah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan, meliputi pelaburan, borong, perbankan Islam dan digital.

Beliau juga kini berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sebagai Pemegang Amanah Amanah Warisan Negara.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank dan Pengarah Urusan Perbankan Borong, Kumpulan AmBank.

Beliau juga berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank Bhd dan Ketua Pegawai Operasi Inovasi Digital dan Perbankan Urus Niaga di Kumpulan Perbankan Hong Leong.

Raja Teh Maimunah pernah berkhidmat sebagai Ketua Pasaran Islam Global di Bursa Malaysia antara tahun 2009 dan 2011, beliau mengetuai penubuhan Bursa Suq Al-Sila', platform dagangan komoditi patuh syariah pertama di dunia.

Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata pengalamannya dalam kewangan Islam dan perbankan digital akan memberi sumbangan besar kepada inovasi dan usaha pertumbuhan mereka sebagai pertukaran pelbagai aset untuk membina pasaran modal Malaysia yang kukuh, bertenaga dan inklusif.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.850

Comments

Login to comment.