Air Selangor catat pendapatan RM2.82 bilion pada 2023

HarianMetro Fri, Jun 28, 2024 08:03am - 4 days View Original


Kuala Lumpur: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.82 bilion pada 2023, meningkat 15.1 peratus daripada RM2.45 bilion dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Abas Abdullah berkata, peningkatan itu adalah hasil daripada pelbagai pendapatan operasi Air Selangor.

Katanya, Air Selangor akan terus melabur dalam pengurusan dan pentadbiran bekalan air dalam jangka masa panjang untuk 9.3 juta penggunanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, apabila pelarasan tarif yang sesuai dan holistik dapat memastikan peningkatan kualiti perkhidmatan secara berterusan.

"Air Selangor mencatatkan perbelanjaan modal (Capex) sebanyak RM0.56 bilion pada 2023 berbanding RM2.68 bilion pada 2022, yang sebahagian besar dibelanjakan untuk projek Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 pada 2022 (RM1.97 bilion).

"Selepas dilaraskan bagi tahun 2023, terdapat peningkatan sebanyak 18.8 peratus dalam Capex berbanding RM467.99 juta pada 2022 (tidak termasuk Rasau)," katanya pada sidang media sempena terbitan Laporan Kelestarian 2023 Air Selangor, semalam.

Abas berkata, sehingga 31 Disember tahun lepas, Air Selangor melaksanakan enam penerbitan Sukuk Kelestarian, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.13 bilion sejak penerbitan pertama pada 29 Oktober 2021.

Beliau berkata, Sukuk Kelestarian diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek berkaitan bekalan air, pengurusan air lestari dan inisiatif tenaga boleh baharu.

"Ini termasuk pembangunan kemudahan rawatan air baharu, penyenggaraan kemudahan sedia ada, program penggantian paip dan projek Tenaga Boleh Baharu untuk Air (Renew)," katanya.

Laporan Kelestarian 2023 yang diterbitkan semalam menggariskan inisiatif dan rekod pencapaian Air Selangor bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2023 serta komitmen dalam mengukuhkan jaminan sekuriti air di peringkat serantau dan tempatan melalui amalan kelestarian dan kecekapan operasi.

Abas berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi Air Selangor untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.