British Airways, Vietjet Air, 9 Air bakal beroperasi di KLIA tahun ini - MAHB

BeritaHarian Tue, Jun 25, 2024 04:53pm - 6 days View Original


SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan usaha intensif untuk mengembangkan ketersambungan rangkaian negara menyaksikan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kini menjadi hos kepada 70 syarikat penerbangan, melepasi tahap sebelum pandemik 69 syarikat penerbangan.

Dalam satu kenyataan, Malaysia Airports Group berkata, menjelang akhir tahun, sebanyak tiga lagi syarikat penerbang iaitu British Airways, Vietjet Air dan 9 Air dijangka mula beroperasi di KLIA.

"Kumpulan sedang giat membawa 15 lagi syarikat penerbangan asing untuk untuk beroperasi di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan sasaran untuk mengangkat KLIA sebagai hab antarabangsa pilihan.

"Untuk meningkatkan perjalanan udara, kumpulan telah membuat pelaburan besar dalam inisiatif seperti Program Airline X-celeration, yang merangkumi pengecualian yuran pendaratan, rebat sewa pejabat lapangan terbang dan sokongan pemasaran.

"Kira-kira RM3 juta telah diperuntukkan untuk sokongan pemasaran di laluan Malaysia-China sahaja setakat ini, menggariskan komitmen kumpulan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan," katanya.

Pada Mei 2024, Malaysia Airports Group menyaksikan peningkatan berterusan dalam trafik yang disokong beberapa faktor, termasuk lanjutan perjalanan tanpa visa ke China dan pengenalan perkhidmatan baharu oleh AirAsia dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel (AMD) di Ahmedabad dan Juneyao Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong (PVG) setiap empat kali seminggu.

Terdapat juga penyambungan semula penerbangan AirAsia dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Biju Patnaik (BBI) di Bhubaneswar dan China Eastern Airlines ke Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe (WUH), dengan kedua-duanya membabitkan frekuensi tiga kali seminggu.

"Perkembangan ini telah meningkatkan perjalanan antarabangsa dengan ketara," katanya.

Malaysia Airports Group berkata, pertumbuhan trafik penumpang yang teguh pada Mei 2024, melepasi tahap sebelum pandemik untuk bulan yang sama pada 2019.

"Kumpulan merekodkan sejumlah 11.2 juta penumpang di 39 lapangan terbangnya di Malaysia, bersama aset Türkiye iaitu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen mewakili peningkatan 5.1 peratus berbanding angka Mei 2019.

"Prestasi ini mempamerkan trajektori pertumbuhan yang kukuh. Jumlah trafik Mei 2024 sebanyak 11.2 juta penumpang juga menandakan peningkatan 2.0 peratus daripada 11 juta penumpang yang direkodkan pada bulan sebelumnya, menetapkan pencapaian baharu bagi kumpulan dan melepasi paras puncak yang dicapai pada Februari 2024.

"Selain itu, pencapaian ini menandakan bulan kelima berturut-turut dengan lebih 10 juta jumlah penumpang," katanya.

Di peringkat domestik, Malaysia Airports Group merekodkan 7.7 juta pergerakan penumpang merentasi rangkaian lapangan terbang tempatannya, menunjukkan prestasi yang stabil dengan peningkatan 1.0 peratus daripada 7.6 juta penumpang bulan sebelumnya.

"Lapangan terbang di Malaysia mengalu-alukan 4 juta penumpang antarabangsa pada Mei 2024, menandakan peningkatan 2.0 peratus daripada 3.9 juta penumpang pada bulan sebelumnya," katanya.

Sementara itu, trafik domestik di lapangan terbang tempatan mengekalkan prestasi mantapnya, dengan 3.7 juta penumpang direkodkan bulan lalu.

Pencapaian konsisten dalam perjalanan domestik itu menyerlahkan permintaan yang teguh untuk perjalanan udara dalam negara, disokong lagi oleh perhubungan yang dipertingkatkan dan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan lapangan terbang.

Secara keseluruhan, gabungan pertumbuhan dalam trafik antarabangsa dan domestik pada Mei 2024 memberi penekanan kepada daya tahan dan daya tarikan sektor penerbangan Malaysia.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (SAW), jumlah pergerakan penumpang pada Mei 2024 mencecah 3.5 juta, menandakan peningkatan 3.0 peratus daripada April 2024.

Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik menyumbang kepada pertumbuhan ini, dengan 1.8 juta penumpang antarabangsa dan 1.7 juta penumpang domestik direkodkan pada Mei 2024.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AIRPORT 9.860

Comments

Login to comment.