Go Hub Capital rangka langkah perluasan, pengukuhan pasaran

BeritaHarian Tue, Jun 18, 2024 03:23pm - 2 weeks View Original


KUALA LUMPUR: Go Hub Capital Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 3 Julai ini menetapkan pelan strategik dalam memperluaskan kehadiran secara ketara di negara ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Cherng Thong, berkata penetapan pelan berkenaan membabitkan tumpuan dalam sektor pengangkutan darat awam, mempelbagaikan pasaran bagi memperluaskan pangkalan pelanggan dan meningkatkan tenaga kerja.

Katanya, bidang tumpuan lain turut membabitkan inisiatif pemasaran, pembangunan pusat bersepadu baharu, reka bentuk dan pembangunan (D&D) serta pemerolehan peralatan teknologi maklumat (IT), alat dan perisian.

"Untuk sektor pengangkutan awam darat, kami berjaya memasang Sistem Operasi Terminal (TOS) untuk Sistem Pengurusan Trafik (TMS) dan Sistem Tiket Berpusat (CTS) bagi terminal bas di Sabah yang menyumbang pendapatan RM1.08 juta tahun kewangan 2023 dengan kerjasama ini adalah selama enam tahun.

"Kami juga bersedia untuk pembangunan laluan landasan berkembar elektrik dari Gemas, Negeri Sembilan ke Johor Bahru, yang akan merangkumi sembilan stesen tambahan. Peluasan ini dijangka meningkatkan dengan ketara jejak kami dalam segmen rel kerana Go Hub akan memasang perkakasan penting dan perisian yang diperlukan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di stesen ini," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Cherng Thong berkata, dalam mempelbagaikan pasaran, Go Hub bekerjasama dengan Lembaga Pelabuhan Sabah untuk mewujudkan penyelesaian IT pengangkutan di lapan terminal feri sebagai sebahagian daripada inisiatif negeri berkenaan.

Katanya, sasaran kumpulan adalah untuk melaksanakan sepenuhnya penyelesaian ini menjelang Mac 2025 bagi meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan dan operasi keselamatan terminal.

"Dalam menyokong rancangan pengembangan kami, kami menyasarkan untuk meningkatkan keupayaan sumber manusia dengan merekrut profesional mahir seperti jurutera perisian, jurutera kawalan kualiti (QC), perunding projek, pusat bantuan dan perkhidmatan pelanggan, serta juruteknik dan kakitangan D&D," katanya.

Selain itu, katanya, Go Hub akan membangunkan pusat bersepadu baharu di Lembah Klang yang akan berfungsi sebagai sebagai makmal ujian dan kemudahan demonstrasi dan latihan.

"Pusat ini akan meliputi kira-kira 2,000 kaki persegi dan menempatkan sehingga 35 individu," katanya.

Cherng Thong berkata, berdasarkan kedudukan kecairan derivatif (LPD), jumlah kontrak dalam tangan Go Hub berjumlah kira-kira RM72.75 juta dengan RM37.35 juta telah dibilkan, manakala bakinya belum dibilkan.

"Berkenaan kontrak belum dibilkan berjumlah RM35.40 juta, kami menjangkakan sejumlah RM9.29 juta akan dibilkan dalam tahun kewangan 2024 dan baki RM26.11 juta dalam tahun kewangan berikutnya," katanya.

Selaras dengan tawaran awam permulaan (IPO), Go Hub menyasarkan mengumpul RM37.51 juta membabitkan terbitan 107.18 juta saham biasa pada harga 35 sen sesaham.

Terbitan itu mewakili kira-kira 26.8 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan selepas IPO.

Go Hub memperuntukkan sejumlah 20 juta saham kepada rakyat Malaysia dengan separuh daripadanya untuk pelabur Bumiputera.

Selain itu, sejumlah 12 juta saham diperuntukkan untuk pihak yang layak; dan 75.18 juta lagi untuk penempatan persendirian.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 9.060
GOHUB 0.915

Comments

Login to comment.