Ocean Fresh dijangka raih RM14.01 juta IPO di Pasaran ACE

BeritaHarian Wed, Jun 12, 2024 03:48pm - 3 weeks View Original


KUALA LUMPUR: Ocean Fresh Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM14.01 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 4 Julai 2024.

Ocean Fresh terbabit terutamanya dalam pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut sejuk beku dan penyediaan perkhidmatan pemprosesan makanan laut sejuk beku kepada pelanggannya di Malaysia, Turkiye, China, Thailand, Vietnam dan Jepun.

Pelaksanaan IPO kumpulan itu terdiri daripada menerbitkan 50.05 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 28 sen sesaham.

Daripada jumlah tawaran itu, 37.83 juta saham baharu akan ditawarkan sebagai penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala 10.51 juta saham baharu akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dan 1.71 juta saham baharu untuk pihak yang layak.

Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 210.15 juta saham, Ocean Fresh dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM58.84 juta selepas berjaya disenaraikan.

Kumpulan merancang untuk menggunakan 57.09 peratus atau RM8 juta daripada jumlah hasil sebagai perbelanjaan modal untuk kemudahan penyimpanan sejuk baharu di Kuantan, Pahang.

Pengarah Eksekutif Ocean Fresh, Kee Wan Chum, berkata kemudahan penyimpanan baharu itu, yang merangkumi enam bilik sejuk dan ruang pemunggahan, akan ditempatkan bersebelahan kemudahan pemprosesan semasa dan dijangka meningkatkan kapasiti penyimpanannya daripada 1,700 tan kepada 4,700 tan.

Beliau berkata, kumpulan juga merancang untuk terus mengembangkan jualan melalui kerjasama dengan pemborong tempatan di China untuk memanfaatkan rangkaian pelanggan mereka.

Kumpulan dijangka memuktamadkan pelantikan pemborong untuk mengedarkan produk mereka di China menjelang suku ketiga 2024.

"Kami percaya pelaksanaan IPO kami akan memainkan peranan penting untuk membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat, di samping memenuhi rancangan untuk mengembangkan eksport produk makanan laut sejuk beku ke pasaran antarabangsa, khususnya China," katanya kepada media selepas pelancaran prospektus Ocean Fresh di sini, hari ini.

IPO dibuka untuk langganan mulai hari ini hingga 20 Jun 2024, dengan KAF Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin ejen penempatan.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 9.060
OFB 0.770

Comments

Login to comment.