Penyiapan HSR antara tugas PM baharu Singapura

HarianMetro Thu, May 16, 2024 11:09am - 1 month View Original


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Singapura yang baharu Lawrence Wong dijangka memperkukuh hubungan istimewa yang dinikmati republik pulau itu dengan Malaysia menerusi usaha memperteguh dasar ekonomi dua hala sedia ada di samping membina jalinan utuh antara kedua-dua negara, kata pakar ekonomi.

Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Prof Dr Yeah Kim Leng menjangka Wong mengutamakan perjanjian dan inisiatif sedia ada serta melonjakkannya ke tahap lebih tinggi seperti pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dengan Malaysia boleh memanfaatkannya menerusi kawasan dan tenaga kerjanya.

"Kita menjangkakan tumpuan lebih besar daripada kepimpinan baharu, dengan meneruskan perjanjian sedia ada yang dimeterai (dengan) Perdana Menteri terdahulu Lee Hsien Loong dan untuk Wong -- sebelum ini sebagai Timbalan Perdana Menteri -- untuk menyelesaikan beberapa isu tertunggak dengan Malaysia.

"Saya tidak fikir isu itu terlalu sukar, memandangkan penekanan diberikan terhadap cara kita boleh bekerjasama," katanya kepada Bernama.

Tugas Wong akan menjadi lebih mudah berdasarkan kenyataan Lee bahawa selama 20 tahun menjadi Perdana Menteri, Singapura telah mencapai kemajuan dalam beberapa isu walaupun dengan pertukaran perdana menteri Malaysia yang silih berganti bermula dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yeah berkata antara isu yang perlu diberi tumpuan oleh Wong ialah penyiapan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dinanti-nantikan.

Tugas itu perlu bagi beliau kerana amat penting sebagai perdana menteri baharu untuk memastikan projek mega tersebut pada akhirnya mampan dari segi kewangan dan menguntungkan kedua-dua pihak kerana projek itu akan membawa dimensi baharu dalam hubungan pengangkutan antara kedua-dua negara jiran.

"Projek ini akan mempunyai kesan limpahan kepada kedua-dua negara, jadi saya berpandangan adalah tidak produktif untuk berunding mengenai limpahan itu kerana perkara ini agak tidak pasti (dan lebih-lebih lagi) dari segi pembahagian manfaat secara saksama.

"Perlu bersikap bertolak ansur (dan) yang lebih penting untuk memastikan projek itu dapat dibiayai secara mampan dan tanpa beban berlebihan terhadap kewangan kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata sudah tentu Malaysia juga boleh memanfaatkan kewangan awam Singapura yang baik memandangkan rizabnya yang besar dan sama ada sumber itu boleh digunakan sebahagiannya untuk mengurangkan kos pembiayaan projek.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi di Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat Wong tidak akan mengubah dasar ekonomi semasa secara drastik memandangkan Singapura adalah rakan dagang penting Malaysia, dan dasar itu setakat ini berfungsi dengan baik secara dua hala.

"Saya menjangkakan tiada perubahan ketara dalam strategi ekonomi di bawah Perdana Menteri Singapura keempat," katanya.

Selama lebih sedekad, Malaysia dan Singapura menjadi rakan dagangan global kedua terbesar antara satu sama lain dan yang terbesar dalam kalangan negara Asean.

Pada 2023, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai US$79.6 bilion (RM363.13 bilion).

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.