Penalti MyCC berpotensi jejas aliran tunai pengisar makanan ternakan

BeritaHarian Tue, Dec 26, 2023 02:13pm - 9 months View Original


KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti bagi pelanggaran pelanggaran akta penetapan harga dijangka menjejaskan aliran tunai lima syarikat pengisar makanan ternakan termasuk PPB Group Bhd dan Leong Hup International Bhd.

Penganalisis TA Securities, Liew Yi Jiet, berkata jangkaan itu dibuat sekiranya keputusan tidak memihak kepada syarikat pengisar makanan ternakan.

"Memandangkan Leong Hup International bersedia untuk memfailkan permohonan rayuannya kepada Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) untuk mencabar penalti MyCC, adalah dijangkakan bahawa tidak akan ada kesan yang ketara ke atas kedudukan kewangannya sehingga keputusan rayuan yang dijangka diputuskan pada suku ketiga 2024.

"Jika keputusan tidak menguntungkan Leong Hup International, kami percaya kedudukan kewangan syarikat akan terjejas. Ia merekodkan aliran tunai yang kukuh daripada operasi sepanjang lima tahun yang lalu dan secara konsisten mengekalkan baki tunai tahunan anggaran sekitar RM564 juta.

"Dengan mengandaikan LHI menggunakan sepenuhnya rizab tunainya untuk penyelesaian penalti, nisbah penggearan bersih pro formanya akan merosot kepada 0.96x daripada 0.7x," katanya dalam nota penyelidikan.

Pada 22 Disember lalu, MyCC menjelaskan ia telah mengenakan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.

Menurut MyCC, syarikat itu adalah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd, FFM Bhd, Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.

MyCC memaklumkan siasatannya mendedahkan bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa antara perusahaan-perusahaan terbabit di antara Januari 2020 hingga Jun 2022 selain mendapati lima perusahaan itu menggunakan strategi dengan menyatakan kenaikan kos makanan ayam disebabkan peningkatan perbelanjaan bahan mentah.

Dalam kenyataan bertarikh sama, MyCC turut mengenakan penalti ke atas anak syarikat milik penuh Leong Hup International, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd sebanyak RM157.5 juta kerana didakwa terbabit dalam pembentukan kartel penetapan harga untuk makanan ayam.

Penalti ini terhasil daripada penyiasatan yang dimulakan oleh MyCC pada Ogos 2022 yang menyasarkan lima syarikat yang disyaki memanipulasi harga makanan dengan berkongsi maklumat komersial yang sensitif antara awal 2020 dan pertengahan 2022.

Keputusan muktamad berdasarkan penemuan MyCC, telah dicapai pada Disember 2023.

Walaupun penalti terkumpul sebanyak RM415.5 juta, dengan anak syarikat Leong Hup International menanggung 38 peratus daripada jumlah keseluruhan, kumpulan menyangkal tuduhan itu, dengan menegaskan bahawa denda itu adalah "tanpa merit' dan ia akan mengambil tindakan yang perlu untuk mencabar keputusan MyCC melalui penyerahan permohonan rayuan kepada CAT.

Sementara itu, Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Gan Huey Ling, berkata bank pelaburan itu percaya semua syarikat pengisar makanan ternakan akan mengemukakan rayuan kepada CAT.

Katanya, rayuan dan kes mahkamah yang bakal berlangsung dijangka mengambil tempoh yang panjang dan ia berkemungkinan besar berlarutan.

"PPB Group berkata, ia akan berunding dengan penasihat undang-undang luarnya mengenai tindakan yang sesuai untuk diambil ekoran penalti sebanyak RM42.69 juta," katanya.

Anak syarikat pengilangan tepung dan makanan haiwan PPB Group, FFM Bhd berpandangan bahawa keputusan itu adalah tidak bermerit.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

LHI 0.755
PPB 14.640

Comments

Login to comment.