Takaful Malaysia catat keuntungan RM91.9 juta

HarianMetro Fri, Sep 01, 2023 06:15am - 1 year View Original


SYARIKAT Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), merekodkan prestasi kewangan kukuh dengan keuntungan selepas zakat dan cukai sebanyak RM91.9 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023.

Ia peningkatan 40 peratus berbanding RM65.8 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023, keuntungan sebelum zakat dan cukai adalah RM131.8 juta.

Beliau berkata, ia 30 peratus lebih tinggi berbanding RM101.7 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Katanya, ini disumbangkan oleh keuntungan yang lebih tinggi daripada aset pelaburan pendapatan tetap dan kerugian nilai saksama lebih rendah ke atas aset pelaburan.

"Dana takaful keluarga kami merekodkan hasil takaful sebanyak RM314.9 juta untuk suku kedua dalam tinjauan, peningkatan 27 peratus berbanding RM248.1 juta dalam tempoh sama tahun lepas disebabkan oleh hasil lebih tinggi diperoleh untuk perkhidmatan takaful yang disediakan."

"Dana takaful am Takaful Malaysia mencatatkan peningkatan 25 peratus hasil takaful dan merekodkan RM308.3 juta untuk suku kedua 2023 berbanding RM245.9 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

"Hasil takaful yang lebih tinggi ini adalah disebabkan pendapatan caruman lebih tinggi daripada kelas perniagaan kebakaran dan motor," katanya.

Beliau berkata, pendapatan pelaburan bersih Takaful Malaysia mencatatkan RM129.9 juta, peningkatan sebanyak RM63.7 juta daripada RM66.2 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, Ini disebabkan oleh pendapatan keuntungan lebih tinggi daripada pelaburan pendapatan tetap dan kerugian nilai saksama bersih yang lebih rendah ke atas aset kewangan.

"Seiring dengan langkah strategik untuk kekal sebagai peneraju pasaran dalam industri takaful, kami berusaha untuk mengukuhkan kehadiran pasaran dalam produk berkaitan kredit, perbendaharaan, manfaat pekerja dan segmen perniagaan takaful am," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

TAKAFUL 3.900

Comments

Login to comment.