Kamarul Ariffin dilantik jadi CEO baharu Cyberview

BeritaHarian Thu, Aug 17, 2023 12:22pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) mengumumkan pelantikan Kamarul Ariffin Abdul Samad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 14 Ogos 2023.

Cyberview dalam satu kenyataan berkata, sebagai seorang pemimpin korporat berpengalaman, Kamarul Ariffin membawa bersama pengalaman lebih 30 tahun dalam pelbagai bidang di dalam dan luar Malaysia.

Katanya, sebelum dilantik sebagai CEO Cyberview, Kamarul Ariffin menghabiskan beberapa tahun bersama Sime Darby Property Bhd dalam pelbagai kapasiti penting daripada pembangunan perniagaan, perancangan strategik, pelaburan korporat hinggalah menerajui beberapa unit perniagaan.

"Jawatannya sebelum dilantik sebagai CEO Cyberview ialah Pengurus Besar Sime Darby Property Selatan Sdn Bhd dan sebelum ini bertanggungjawab terhada projek Malaysian Vision Valley," kata kenyataan itu,

Kamarul Ariffin memulakan kerjayanya pada 1990 sebagai pegawai operasi bersama Public Bank sebelum menyertai Sapura Group of Companies, yang menyaksikan beliau memegang pelbagai jawatan dalam kewangan, pembangunan perniagaan, perniagaan antarabangsa dan pembangunan strategik di seluruh organisasi itu.

Beliau berkhidmat bersama Sapura Defence Sdn Bhd, Sapura Technology Bhd and Uniphone Sdn Bhd termasuk tugasan dua tahun di Vietnam bagi projek telefon berbayar di Hanoi serta Ho Chi Minh City.

Latar belakang akademik Kamarul Ariffin termasuk Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam Perakaunan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pengurusan Kewangan, kedua-duanya diperoleh dari

University of Hull di United Kingdom masing-masing pada 1997 dan 1998.

Beliau juga memegang Diploma Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Saya tidak sabar untuk menyumbang kepada kejayaan masa hadapan Cyberview. Saya berbesar hati dengan peluang untuk berkongsi pengalaman dengan pasukan ini dalam usaha untuk mengoperasikan pelan induk Cyberjaya yang dilancarkan pada 2019.

"Walaupun terdapat kemajuan dan kita melihat hasil daripada pelbagai usaha dibuat untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) teknologi, masih ada potensi besar untuk terus membangunkan Cyberjaya.

"Saya juga bersedia untuk berhubung dan bekerja dengan pelbagai pihak berkepentingan, pemimpin industri dan agensi kerajaan untuk melonjakkan aspirasi Malaysia Madani menerusi inovasi," kata Kamarul Ariffin.

Pada 2019, Cyberview melancarkan pelan induk Cyberjaya baharu dengan fokus terhadap tiga kluster teknologi iaitu mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar dan kreatif digital.

Menerusi pelan induk itu, Hab Teknologi Global dijangka menyumbang RM250 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mewujudkan 87,000 pekerjaan untuk ekonomi Malaysia dan menarik 1,200 syarikat menjelang 2045.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

PBBANK 4.590
SIMEPROP 1.450

Comments

Login to comment.