Sumber petroleum belum teroka negara 21 bilion tong

BeritaHarian Tue, Mar 07, 2023 11:28am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Malaysia masih mempunyai potensi sumber petroleum belum diterokai yang besar iaitu kira-kira 21 bilion tong minyak setara, sekali gus mengekalkan daya tarikan negara ini sebagai salah satu destinasi pelaburan utama dalam industri minyak dan gas di rantau ini.

Di samping jumlah syarikat minyak dan gas yang beroperasi dan melabur dalam industri huluan di Malaysia sudah mencecah lebih 30 syarikat pada masa ini, masih terdapat syarikat baharu dari pelbagai negara seperti Jepun, United Kingdom (UK), Eropah, Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Korea Selatan sudah menyatakan minat untuk melabur dalam industri minyak dan gas negara.

Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan, berkata meskipun industri minyak dan gas di Malaysia sudah berusia lebih 100 tahun sejak penemuan minyak pertama di Miri, Sarawak pada tahun 1910, potensi sumber petroleum belum diterokai yang besar itu menawarkan peluang menarik kepada syarikat berkenaan.

Beliau berkata, strategi MPM sebagai unit di dalam PETRONAS yang menjalankan kawal selia dan tadbir urus ke atas industri huluan minyak serta gas negara, adalah mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif dengan memperkasa dan menyokong syarikat yang beroperasi dalam industri minyak dan gas tempatan bagi memajukan sumber petroleum secara optimum dan seterusnya memaksimumkan rantaian nilai minyak dan gas dalam negara.

Katanya, PETRONAS juga berpegang teguh kepada prinsip mewujudkan nilai bersama rakan kongsi menerusi strategi 'right asset, right player', yang mana syarikat yang berkelayakan disuaipadankan dengan peluang pelaburan yang sedia ada berdasarkan kemahiran dan kebolehan teknikal, tahap risiko yang mampu disandang dan keupayaan kewangan masing-masing bagi memaksimumkan nilai potensi di medan minyak dan gas baharu dan sedia ada.

Tambahnya, Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) dengan terma komersial yang inovatif telah menarik perhatian pelbagai syarikat minyak dan gas yang berkelayakan dan berkebolehan bagi melabur di negara ini dan memajukan sumber minyak dan gas negara secara optimum.

"Sejak 1974, PETRONAS secara berterusan telah menambah baik PSC sebagai tindak balas terhadap kehendak dan cabaran yang dihadapi pelabur. Kami telah membuat semakan semula dan penambahbaikan terhadap terma PSC sejak ditubuhkan, sejajar dengan perkembangan dan arah aliran terkini industri minyak dan gas global.

"Ini membolehkan Malaysia menarik pelabur dari pelbagai latar belakang dan pengalaman yang merangkumi syarikat minyak dan gas ternama, syarikat multinasional dan juga syarikat baharu untuk melabur di sini," katanya kepada BH dalam satu temu bual ekslusif baru-baru ini.

Mohamed Firouz berkata, ketika beliau mula-mula menyertai PETRONAS pada 1988, hanya tiga syarikat minyak utama terbabit dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran (E&P) minyak dan gas di Malaysia iaitu Exxon yang dahulunya dikenali sebagai Esso, Shell dan PETRONAS Carigali.

"Sejak 1974, industri huluan minyak dan gas di Malaysia sudah berkembang pesat, dengan pelaburan terkumpul sehingga 2021 telah menjangkaui lebih RM660 bilion.

"Kini, tahap pengeluaran minyak dan gas negara melebihi 1.7 juta tong minyak setara sehari. Bahkan, PETRONAS juga berazam untuk meningkatkan tahap pengeluaran kepada dua juta tong minyak setara sehari menjelang 2025," katanya.

Semasa aktiviti penerokaan sumber petroleum di Malaysia bermula, Malaysia mengamalkan sistem konsesi, yang mana syarikat minyak dari luar negara diberikan hak mutlak untuk meneroka sumber petroleum dan diwajibkan membayar cukai dan royalti kepada kerajaan.

Namun, setelah sekian lama sumber petroleum Malaysia diteroka dan diusahakan oleh syarikat luar negara, kerajaan mula menyedari kepentingan serta nilai strategik untuk mengambil alih kawalan ke atas sumber berkenaan.

Kesedaran itu memberi lahir kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974).

Melalui PDA 1974, seluruh pemunyaan mengenai petroleum dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksplorasi, mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Malaysia telah diletakhakkan kepada PETRONAS, syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965.

Dengan mandat yang diberikan, PETRONAS telah berjaya menukar sistem konsesi penerokaan sumber petroleum negara kepada satu sistem PSC, yang mana PETRONAS dengan secara langsung terbabit sebagai pengawal selia operasi operasi petroleum huluan di Malaysia.

Melalui sistem itu, PETRONAS telah berjaya membangunkan dan menambah nilai ke atas sumber petroleum supaya industri minyak dan gas negara sentiasa mampan.

PETRONAS telah antara lain memperkenalkan keperluan Malaysianisasi sumber tenaga kerja serta pemindahan teknologi di samping keutamaan kepada penggunaan syarikat syarikat tempatan sebagai kontraktor perkhidmatan di dalam aktiviti cari gali minyak.

Sehingga kini, lebih 200 PSC telah dimeterai oleh PETRONAS dengan syarikat minyak, dari dalam dan luar negara sejak PSC mula diperkenalkan di negara ini pada 1976.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.