Malaysian Genomics bangun produk farmaseutikal berasas ganja

BeritaHarian Fri, Feb 24, 2023 07:17pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (Malaysian Genomics) menjalin kerjasama strategik dengan Kensana Health Canada dan MAHSA University untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk fitofarmaseutikal dan bioteknologi yang boleh membawa kepada pengkomersilan.

Kensana Health Canada ialah pakar bioteknologi yang memfokuskan kepada R&D rawatan kanabinoid dan pengurusan luka yang bekerjasama dengan syarikat fitofarmaseutikal multinasional Jerman.

Kanabinoid adalah sejenis bahan kimia yang terhasil daripada cannabis sativa, satu daripada tiga spesies tumbuhan kanabis.

Tumbuhan ini menghasilkan kompaun dipanggil cannabinoid dan difahamkan, terdapat lebih 100 jenis cannabinoid di dalamnya - paling lazim ditemukan ialah CBD dan THC (Delta 9 tetrahydrocannabinol).

Kerjasama strategik itu membabitkan ketiga-tiga pihak yang menjalankan R&D bersama mengenai penambahbaikan spesies, pengenalpastian, perumusan dan ujian pra-klinikal bagi fitokompaun baru dengan potensi nilai terapeutik dan komersial, antara bidang lain.

Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Datuk Alvin Joseph Nesakumar, berkata kumpulan mengalu-alukan kerjasama strategik dengan MAHSA dan Kensana untuk mengembangkan aktiviti R&D menggunakan rumusan berasaskan tumbuhan untuk menghasilkan hasil yang boleh dikomersialkan di negara di mana undang-undang membenarkan penggunaan cannabinoid ubat-ubatan.

"Di Malaysia, terdapat juga langkah untuk mendaftarkan produk cannabidiol pada tahun ini. Kami mempunyai pengetahuan pasaran dan kepakaran dalam pengedaran produk berkaitan penjagaan kesihatan manakala rekod prestasi kerjasama dan perkongsian kami akan membantu menyokong tumpuan kumpulan pada perniagaan biofarmaseutikal untuk pertumbuhan dan kemampanan.

"Kami juga mempunyai teknologi dan peralatan makmal yang diperlukan untuk menyokong usaha penyelidikan & pembangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kensana Health Canada, Ken Clement, berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia Genomics dan MAHSA dengan menyediakan teknologi dan pengetahuannya dalam memajukan usaha R&D.

"Kami mempunyai pengetahuan proprietari serta teknik yang terbukti dalam tanaman dan resipi kanabinoid yang standard dan mempunyai pendekatan unik untuk pengurusan luka di mana kami adalah peneraju dunia," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan MAHSA dan Universiti MAHSA, Datuk Dr Shahril Haniffa, berkata, kerjasama itu menghimpunkan pihak yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam bidang masing-masing.

"Selain mengenal pasti sebatian bioaktif baharu dengan potensi kegunaan terapeutik, kerjasama ini termasuk menawarkan program pendidikan dan latihan kepada pihak berkepentingan, termasuk profesional kesihatan, institusi pendidikan dan hospital yang juga adalah komponen penting dalam memajukan sains kesihatan," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MGRC 0.365

Comments

Login to comment.