MAHB tingkatkan lagi kecekapan operasi di KLIA

BeritaHarian Fri, Jul 29, 2022 03:39pm - 2 years View Original


SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan melaksanakan sistem bersepadu Kerjasama Pembuatan Keputusan Lapangan Terbang (A-CDM) bagi meningkatkan lagi kecekapan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sistem itu menyepadukan aspek operasi pengendalian lapangan terbang, kawalan trafik udara, syarikat penerbangan dan perkhidmatan daratan menerusi platform seragam yang membolehkan pembuatan keputusan secara kolaboratif atau kerjasama.

Pada masa sama, ia turut membolehkan kesedaran persekitaran lazim dan memaksimumkan usaha pertukaran maklumat.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata sistem A-CDM itu bertujuan menambah baik tahap standard perkhidmatan menerusi kerjasama dengan tujuh pihak berkepentingan lapangan terbang yang membolehkan keputusan dibuat berdasarkan maklumat lebih tepat serta berkualiti.

Tujuh pihak terbabit adalah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Aerodarat, Pos Aviation dan Ground Team Red.

"A-CDM menggunakan data masa nyata yang boleh diakses oleh semua bagi kelancaran aliran pengurusan dan membolehkan penggiat penerbangan negara meningkatkan lagi perkidmatan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak berkepentingan berkaitan yang disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak di sini, hari ini.

Iskandar Mizal berkata, sistem A-CDM akan dilaksanakan apabila usaha integrasi data dan keperluan tertentu lain selesai.

"Sebelum ini, ketika tempoh pra-COVID-19, tumpuan itu lebih ke atas prestasi, kecekapan dan keuntungan.

"Namun, sejajar dengan usaha pemulihan sektor penerbangan, sekarang adalah masa terbaik untuk semua pihak tampil bekerjasama bagi meningkatkan lagi produktiviti," katanya.

Menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebanyak 18 lapangan terbang di Asia Pasifik telah melaksanakan A-CDM manakala 23 lapangan terbang lain masih dalam peringkat pelaksanaannya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AIRPORT 10.400

Comments

Login to comment.